Home

Bekas penagih mungkin diwajibkan ke kelas agama

Tuesday, August 05th, 2008 | Author: pemadam

Orang ramai menyaksikan demonstrasi anjing pengesan dadah pada Hari Peringatan Anti Dadah Antarabangsa di Dataran Kemang, Port Dickson, semalam.

PORT DICKSON 26 Julai - Kerajaan berkemungkinan akan mewajibkan bekas pelatih pusat serenti memasuki kelas-kelas agama berdasarkan anutan masing-masing sebagai lanjutan pada program pemulihan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, modul lanjutan mengenai perkara itu akan dibincangkan dengan ahli-ahli agama supaya ia dapat dilakukan secara berterusan, selain mengetepikan kesan negatif masyarakat kepada golongan berkenaan.

”Memang kita menghadapi masalah untuk melihat pemulihan selepas keluar dari pusat serenti kerana program ke arah itu amat berkurangan sekali.

”Sebab itulah angka penagih lama yang kembali aktif begitu tinggi berbanding angka penagih baru yang dikesan dan puncanya, tiada program berterusan untuk mereka,” jelas beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peringatan Anti Dadah Antarabangsa peringkat negeri di Dataran Kemang, di sini hari ini.

Kata Syed Hamid, modul dan program di kesemua 28 Pusat Serenti dan Pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga perlu diberi ‘nafas baru’ supaya bekas-bekas penagih dapat merasakan kehidupan normal serta dihargai semula oleh masyarakat.

”Program Desa Damai di Johor telah memberi kesan kepada golongan ini di mana mereka diberikan latihan kemahiran dan vokasional serta menjalankan aktiviti perusahaan dan pertanian. Ia akan diperluaskan di seluruh negara,” jelas beliau.

Ketika ini, dianggarkan 7,000 pelatih sedang berada di pusat-pusat serenti dengan kapasiti yang tersedia sebanyak 9,000 tempat.

”Bagaimanapun, dianggarkan terdapat 245,000 penagih dadah di negara ini dan angka itu tidak dipandang ringan oleh kerajaan, sebaliknya akan dikekang supaya sasaran menjadikan Malaysia bebas dadah pada tahun 2015 tercapai,” kata beliau.

Syed Hamid memberitahu, AADK perlu mendekati masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya dapat bersama-sama memberi perhatian kepada bekas penagih dadah berkenaan agar tidak kembali terjerumus.

”Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Persatuan Pendamai Malaysia (Pendamai), Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (Pemadam) perlu juga mempunyai program pemulihan selepas keluar dari pusat serenti.

”Jangan biarkan bekas-bekas penagih ini ‘kosong jiwa’ mereka, lebih-lebih lagi selepas begitu lama putus bekalan dadah ketika berada di pusat serenti,” kata beliau.

Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan dadah jenis sintetik yang mana ketika ini pengambilannya tidak dianggap sebagai penagih sedangkan pil itu cukup bahaya serta memudaratkan nyawa.

”Kita akan mengkaji perkara ini dan kebimbangannya apabila pengambilannya banyak di kalangan golongan elit dan terpelajar,” katanya.

Tags »

Trackback: Trackback-URL | Comments Feed: RSS 2.0
Category: Uncategorized

You can leave a response.

Leave a Reply